Monday, April 27, 2015

Tangan dan Salad Buah

Minggu: 20hb - 24hb April, 2015
Kelas: Manggis
Guru: Cikgu Kok
Tema: Badan Saya
Masa: 4.30pm - 5.30pm

Minggu ini, mereka sambung dengan 'tangan' yang mereka lukis pada minggu lepas. Saya bagi mereka melekat 'kuku' pada setiap jari atas tangan yang dilukis. Selepas itu, saya bagi mereka melekatkan perbendaharaan kata pada tempat yang berkenaan. Perkataan-perkataan yang diberi adalah tangan, kiri, kanan, jari, dan kuku.

Selain daripada itu, saya juga bagi mereka melekatkan gambar buah-buahan dan nama-nama berkenaan untuk salad buah yang disediakan pada minggu lepas. Tetapi, saya telah bertambah lagi satu buah-buahan untuk mereka. Buah-buahan yang dilekatkan termasuk epal, mangga, strawberi, tembikai dan oren, tambah lagi dengan satu jag untuk jus oren. Mereka akan sambungkan lagi pada minggu depan untuk mewarnakan buah-buahan yang telah dilekatkan.








7 Rasa Dan Salad Buah

Minggu: 13hb - 17hb April, 2015
Kelas: Manggis
Guru: Cikgu Kok
Tema: Badan Saya
Masa: 4.30pm - 5.30pm

Minggu ini, ada beberapa aktiviti telah kami lakukan. Mereka telah belajar lidah pada minggu lepas. Jadi, minggu ini saya mengajar mereka 7 rasa, iaitu manis, masam, pahit, pedas, masin, tawar, dan kelat. Saya telah menyediakan 7 cawan air dengan 7 rasa yang tersebut. Setiap cawan yang dirasai mereka, saya akan ajar mereka nama rasa. Mereka sangat lasak. Saya bagitahu mereka boleh minum air jika mereka nak, tapi mereka jawab tidak perlu, walaupun muka mereka telah berubah. Walaubagaimanapun, apabila mereka merasai air yang terakhir, iaitu rasa kelat, mereka semua tidak boleh tahan dan terus lari pergi minum air, dan ada pula terus terludah keluar air itu.

Selain daripada itu, minggu ini saya juga ajar mereka beberapa nama buah-buahan melalui penyediaan salad buah. Saya telah membawakan epal, mangga, tembikai, dan oren ke dalam kelas. Saya memotongkan buah-buahan dalam kepingan. Lepas itu, saya bagi mereka potongkan ke ketulan yang kecil dengan pisau mentega. Apabila kita sudah siap memotong buah-buahan, saya memperahkan jus oren ke dalam setiap mangkuk mereka dan salad buah kita telah disiapkan! Tapi, disebabkan saya sibuk menyediakan buah-buahan dan jus oren untuk mereka, saya tidak dapat menangkap gambar. :(

Mereka juga telah mempelajari untuk mengira mengguna jari mereka dari 1 ke 10. Pada hujung minggu, saya telah bagi mereka melukis kedua-dua tangan mereka atas kertas. Minggu depan, mereka akan sambung untuk habiskan 'tangan' mereka.



Thursday, April 23, 2015

Badan Saya - Makanan, Tangan

Minggu: 6hb - 10hb April, 2015
Kelas: Manggis
Guru: Cikgu Kok
Tema: Badan Saya
Masa: 4.30pm - 5.30pm

Minggu ini mereka telah belajar beberapa perbendaharaan kata yang baru, iaitu leher, jari, dan lidah. Selain itu, mniggu ini saya menumpukan pada salah satu fungsi mulut - makan. Jadi, saya telah ajar mereka nama-nama beberapa makanan yang mereka suka makan. Di antaranya termasuk makanan kesukaan mereka seperti kepak ayam, kek, donat dan juga buah-buahan seperti epal, oren, betik, ceri, pisang, dan lain-lain.

Aktiviti-aktiviti minggu ini: pegang bola, baling bola. Saya lontarkan bola kepada mereka dan mereka perlu mencuba memegang bola itu. Selepas itu, mereka perlu balingkan bola balik kepada saya. Dengan aktiviti ini dapat melatih otot-otot tangan mereka dan juga fungsi-fungsi tangan untuk memegang dan membaling bola. Selain itu, boleh juga tengok reaksi mereka apabila bola sudah dekat serta bagi mereka merasa jarak.

Monday, April 6, 2015

Badan Saya - Bahagian 2

Minggu: 30hb Mac - 3hb April, 2015
Kelas: Manggis
Guru: Cikgu Kok
Tema: Badan Saya
Masa: 4.30pm - 5.30pm

Minggu ini saya telah membawa masuk satu buku besar yang mempunyai unit mengenai 'Diri Saya'. Buku besar ini mempunyai perbendaharaan kata dan gambar yang senang untuk kanak-kanak membaca.

Saya telah mengajar mereka beberapa perbendaharaan kata yang baru dalam minggu ini, iaitu:
  • Perempuan/Lelaki
  • Gigi
  • Muka
  • Lidah
  • Leher
  • Jari
  • Dada

Selain daripada itu, saya juga telah mengajar mereka fungsi-fungsi anggota badan yang telah mereka belajari. Seperti:
  • Mata - lihat
  • Hidung - hidu
  • Mulut - makan
  • Telinga - dengar
  • Tangan - sentuh
  • Kaki - jalan

Saya juga bagi mereka melakukan aktiviti-aktiviti mengenai fungsi-fungsi badan. Saya memberikan arahan sambil tunjuk kepada mereka. Mereka pula akan meniru saya. Seperti:
  • Kaki jalan - mereka akan berjalan mengikuti belakang saya
  • Kaki berdiri - mereka akan berdiri
  • Kaki lompat - mereka akan berlompat
  • Tangan angkat - mereka akan angkat tangan

Mereka sangat suka menyanyi. Mereka juga mempunyai peringatan yang bagus. Oleh itu, saya telah mengajar mereka lagi satu lagu yang ada di dalam buku besar itu. Lirik lagu adalah seperti di bawah. (Melodi lagu ini sama dengan lagu "Are You Sleeping?" )

                       Ini mata, ini hidung
                       Mulut dan telinga
                       Saya ada mata
                       Saya ada hidung
                       Mulut dan telinga

Friday, April 3, 2015

Badan Saya

Minggu: 23hb - 28hb Mac 2015
Kelas: Manggis
Guru: Cikgu Kok
Tema: Badan Saya
Masa: 4.30pm - 5.30pm


Minggu ini kami belajar tentang badan kita. Saya telah mengajar mereka beberapa perbendaharaan kata mengenai badan kita, iaitu:
  • Kepala
  • Mata
  • Hidung
  • Mulut
  • Telinga
  • Tangan
  • Kaki

Setiap kali mereka sebut satu perbendaharaan kata, saya suruh mereka tunjuk di mana anggota badan yang disebut.

Pada hujung minggu ini, saya mengajar mereka menyanyi lagu "Bangun Pagi Gosok Gigi". Mereka dapat belajar dan mengingati lirik lagu ini dalam masa yang singkat. Lepas itu, saya bagi mereka menonton video lagu ini. Mereka menyanyi sekali semasa menonton video itu.